Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

20 July 2016

10 PETUA TRANSFORMASI AYAT CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH

10 PETUA DALAM TRANSFORMASI AYAT CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH.

1. Semua kata ganti nama diri pertama dan kedua harus diubah menjadi kata ganti nama diri ketiga.

"Awak tinggal di mana?" Tanya Wee Seong kepada Azemi.

▶️ Wee Seong bertanya kepada Azemi tentang tempat tinggalnya.

2. Semua kata ganti tunjuk dekat harus ditukar kepada kata ganti tunjuk jauh.

"Beg ini milik siapa?" Tanya Mazni.

▶️Mazni bertanya tentang identiti pemilik beg itu.

3. Semua kata tanya harus ditukar kepada kata nama am.

Siapa - tentang individu
Apa - tentang perkara/hal/masalah
Berapa - tentang harga / bilangan
Mengapa - tentang sebab / punca / faktor
Bila - tentang masa / tarikh
Di mana - tentang tempat
Bagaimana - tentang cara / keadaan

"Bagaimanakah Puan Hasanah sekarang?" tanya ibu kepada Ali.
▶️Ibu bertanya kepada Ali tentang keadaan Puan Hasanah pada waktu itu.

4. Semua kata adverba yang menunjukkan maksud dekat harus menjadi jauh.

begini ➡️begitu

"Jangan bersikap begini, tak elok dipandang orang," nasihat bapa Akma kepadanya.

▶️Bapa Akma menasihatinya supaya tidak bersikap begitu kerana tidak elok dipandang orang.

5. Semua singkatan kata perlu diubah menjadi perkataan yang lengkap kerana cakap ajuk ialah dialog yang banyak mengandungi singkatan kata.

mak➡️emak
tak ➡️ tidak
nak➡️hendak
mau➡️mahu
tiada➡️ tidak ada

"Saya nak pergi ke Kuala Lumpur esok,"'kata ibu kepada Chin Wee.

Ibu memberitahu Chin Wee bahawa dia hendak pergi ke Kuala Lumpur esok.

6. Semua kata kerja yang tidak berimbuhan (biasanya wujud dalam cakap ajuk) harus ditukar menjadi kata kerja yang berimbuhan mengikut tatabahasa dan pengimbuhan.

"Mak, saya nak rotan adik kerana nakal," kata Jemrol kepada ibunya.

▶️Jemrol berkata kepada ibunya bahawa dia hendak merotan adiknya kerana nakal.

7. Semua perkataan yang tidak formal harus ditransformasikan kepada perkataan yang formal mengikut tempat dan keadaan.

"Keluar dari rumah aku ini," jerit ibu kepada kakak yang degil.

Ibu menjerit kepada kakak yang degil sambil menghalau kakak keluar dari rumahnya itu.

8. Semua kata seru perlu ditransformasikan kepada kata nama yang jelas dan sesuai.

Wah ➡️perasaan kagum
Amboi ➡️nada mengejek
Eh ➡️perasaan hairan
Cis ➡️marah
Oh ➡️seolah-olah sudah memahami ....

dan lain-lain

"Wah, tingginya Menara KLCC ini," kata murid-murid dari Perlis.

▶️Murid-murid dari Perlis mengagumi ketinggian Menara KLCC.

9. Semua kata perintah dalam ayat perintah harus ditransformasikan kepada ayat penyata yang gramatis.

Jangan ➡️melarang
Usah ➡️menasihati (siapa) agar tidak

"Jangan buang sampah di tapak perhimpunan," kata guru disiplin itu kepada murid-murid.

▶️Guru disiplin itu melarang murid-murid daripada membuang sampah di tapak perhimpunan.

10. Semua bahasa pinjaman atau bahasa pasar harus ditransformasikan menjadi bahasa Melayu yang gramatis.

"Lu mau pergi ke mana?" tanya Hasmah kepada Ah Meng.

▶️ Hasmah bertanya kepada Ah Meng tentang tempat yang ingin ditujuinya.

2 comments:

Anonymous said...

terima kasih atas perkongsian cikgu....

Unknown said...

Ok zisss