Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

3 August 2015

INFORMASI BAHASA - HUKUM DM YANG MENGELIRUKAN

INFORMASI BAHASA

HUKUM DM YANG MENGELIRUKAN

Banyak pengguna bahasa waima murid sekolah tidak sedar kesilapan menulis jawapan berkaitan dengan Hukum DM merupakan soalan perangkap dalam bahagian tatabahasa apabila menduduki UPSR, PT3, SPM, dan STPM.

Peraturan atau Hukum DM ialah rumus tatabahasa yang bermaksud, D=diterangkan dan M= menerangkan. Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan itu hadir pada kedudukan pertama dan unsur yang menerangkan hadir pada kedudukan kedua.
Contohnya, Restoran Santhi, kereta Proton, guru bahasa. Kekecualian boleh berlaku akibat kebiasaan penggunaan, terutama pada jawatan seperti “Perdana Menteri” yang sepatutnya ditulis “Menteri Perdana”.

Dalam seminar peperiksaan, ceramah bahasa, dan Ladap, pelbagai persoalan menghujani saya tentang konsep Hukum DM. Ada yang berkata “Mengapa dalam bahasa Melayu wujudnya kekecualian contohnya dalam hukum DM?” Misalnya Perdana Menteri yang sepatutnya Menteri Perdana. Mengapa Tatabahasa Melayu tidak berpaksikan Hukum DM dalam bahasa Melayu tanpa mengambil kira kebiasaan penggunaannya dalam masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana memang perkataan “Perdana Menteri” telah mantap tetapi banyak lagi perkataan atau frasa dalam bahasa Melayu yang acap kali digunakan tetapi dianggap lewah. Hal ini sama juga dengan “ibu pejabat” yang dianggap mantap walaupun sepatutnya ditulis “pejabat ibu” atau “pejabat utama”.

Sebenarnya, kekecualian dalam bahasa menunjukkan keunikan sesuatu bahasa. Penyusun tatabahasa terdiri daripada para sarjana bahasa lebih memaklumi hal ini dan telah memutuskan kekecualian perlu ada bagi sebahagian kecil perkataan yang telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat.
Walau bagaimanapun, banyak pengguna bahasa beranggapan bahawa kekecualian dalam Hukum DM luas penggunaannya sehingga mereka menyalahgunakan konsep kekecualian mahupun memanipulasi hukum dalam bahasa. Oleh sebab itu, lihat contoh Hukum DM yang salah dan pembetulannya di bawah:
1.
jeruk mempelam (salah)
mempelam jeruk (betul)

2.
penghawa dingin (salah)
pendingin hawa (betul)

3.
uji pandu (salah)
pandu uji (betul)

4.
cili sos (salah)
sos cili (betul)

5.
pelindung skrin telefon (salah)
skrin pelindung telefon (betul)

6.
ayam kari (salah)
kari ayam (betul)

7.
mi mamak goreng (salah)
mi goreng mamak (betul)


8.
Perlawanan Terbuka Futsal (salah)
Perlawanan Futsal Terbuka (betul)

9.
kata mutiara (salah)
mutiara kata (betul)

10.
Pengerusi Kebangsaan Wanita MIC (salah)
Pengerusi Wanita MIC Kebangsaan (betul)

11.
Anugerah Drama Festival Malaysia (salah)
Anugerah Festival Drama Malaysia (betul)

12.
Rancangan Mini Parlimen (salah)
Rancangan Parlimen Mini (betul)

13.
lain-lain hal (salah)
hal-hal lain (betul)

Berdasarkan pengamatan saya hukum D-M dibuat berdasarkan penggunaan bahasa Melayu yang digunakan oleh orang Melayu, kaedah datang kemudian. Di sini, penggunaan bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab secara khususnya dalam kaedah ini, jika dilihat pada kaedah "mausuf sifat" dalam bahasa Arab.
Dalam perkara ini, orang Melayu juga menggunakan penggunaan konsep tersebut secara meluas dengan menghubungkan M dengan D. Antaranya seperti contoh di atas, "lain-lain hal" dan perkara ini adalah biasa dan mengikut nahu yang betul dalam bahasa Arab iaitu berdasarkan kaedah "idafat ul-sifat ila al-mausuf."

Jadi apakah asas penentu dalam membuat dasar atau hukum seperti Hukum D-M ini? Dan, adakah tiada ruang untuk mewujudkan "Hukum Penghubung M-D" agar bahasa Melayu lebih kaya dan mewah makna lagi?

Pada saya, hal ini berlaku demikian kerana wujudnya penyalahgunaan tatabahasa dalam penggunaan bahasa Melayu yang telah meluas dan telah lama digunakan (mungkin kita boleh membuat kajian dalam rujukan Melayu lama), berdasarkan kaedah yang masih dapat diperluas.


Sebagai kesimpulannya, saya beranggapan bahawa Hukum DM masih relevan dalam banyak kata baharu kerana Hukum DM. Di sebalik itu, konsep kata bahasa harus mengikut peredaran zaman agar diterima umum. 

No comments: