Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

13 September 2011

RAMALAN 1 - KARANGAN PANJANG PMR 2011

KARANGAN RAMALAN 1
SOALAN: Setiap pelajar perlu menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah.
Ceritakan pengalaman anda semasa menyertai satu aktiviti tersebut.

Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti luar bilik darjah yang wajib disertai oleh semua pelajar. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu belajar atau pada hari Sabtu. Antara aktiviti ini termasuklah persatuan, kelab, permainan, unit beruniform, dan sukan. Saya telah menyertai pasukan pengakap sejak tingkatan satu lagi untuk menambah pengetahuan dan pengalaman kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semasa menyertai pasukan pengakap sekolah, banyak pengalaman telah saya lalui.

Pasukan pengakap sekolah sangat aktif. Kami perlu menghadiri perjumpaan pada setiap minggu. Biasanya, kami akan dilatih untuk belajar cara-cara berkawad kaki. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan kawad kaki unit beruniform merupakan aktiviti utama dalam agenda tahunan pasukan pengakap. Oleh hal yang demikian, saya mempelajari teknik berkawad dengan berpegang pada prinsip genggam bara api, biar sampai jadi abu. Walaupun berkawad kaki merupakan latihan yang sukar, namun saya tetap dapat menguasainya kerana saya tidak mudah berputus asa untuk mempelajari sesuatu ilmu.

Selain itu, saya dan rakan-rakan yang menyertai pasukan pengakap juga diajar cara-cara untuk mendirikan khemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kami perlu mendirikan khemah sendiri tanpa bantuan guru pengajar sewaktu perkhemahan dijalankan. Dalam aktiviti ini, kami diajar teknik mencari batu yang sesuai, kayu yang kukuh, dan mengetahui kelengkapan yang perlu disediakan untuk mendirikan khemah. Di samping itu, kami juga diingatkan agar sentiasa mengingati kata-kata orang tua iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing sewaktu mendirikan khemah bersama kawan-kawan. Dengan berbuat begitu, bukan sahaja khemah yang kukuh dapat didirikan, malah hubungan persahabatan yang utuh seperti isi dengan kuku dapat dibina.

Di samping itu, saya juga mempelajari cara-cara untuk memberikan bantuan kecemasan. Hal ini dikatakan demikian kerana khidmat pasukan pengakap sekolah amat diperlukan apabila pihak sekolah mengadakan program seperti Hari Kantin, Hari Sukan, Hari Bertemu dengan Pelanggan dan sebagainya. Oleh sebab itu, ilmu bantuan kecemasan ini merupakan pengetahuan yang amat berguna kepada saya. Saya diajar cara membasuh luka, membalut luka, dan mengikat tangan yang patah apabila berlakunya kecederaan. Saya amat yakin bahawa ilmu dalam bidang ini menjadikan diri saya lebih kental dan tabah menghadapi cabaran sebagai pelajar kerana ilmu pelita hidup.

Sementara itu, saya turut dapat mempelajari ilmu ikhtiar hidup apabila menyertai pasukan pengakap sekolah. Hal ini memang benar kerana guru pembimbing pengakap sentiasa berkongsi ilmu dengan kami tentang pokok yang boleh dijadikan herba untuk mengubati luka dan mengurangkan kesakitan. Dalam pada itu, kami turut diajar untuk mengenal pasti pokok yang menyimpan banyak air untuk diminum. Dengan ilmu yang saya pelajari ini, persiapan untuk menyertai perkhemahan di dalam hutan akan menjadi lebih sempurna. Saya sentiasa mengingati pesanan guru pembimbang yang mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Sepanjang menyertai pasukan beruniform ini, saya juga banyak memperoleh pengalaman hidup yang berharga sebagai bekalan masa depan. Hal ini dikatakan demikian kerana saya dapat mempelajari kepentingan bekerja dalam pasukan kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Misalnya, suatu aktiviti perkhemahan yang dijalankan hanya dapat dijayakan dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah guru pengiring, pelatih, dan ahli pengakap. Oleh itu, saya diajar untuk menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersatu padu untuk menghadapi cabaran. Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Kesimpulannya, pasukan pengakap merupaka satu daripada aktiviti kokurikulum yang saya sertai. Saya yakin bahawa setiap unit beruniform mahupun persatuan dan kelab mempunyai keunikan yang tersendiri. Para pelajar harus menyertainya untuk merasai dan melalui sendiri pengalaman sewaktu menyertai aktiviti tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Sebagai penyimpul bicara, kita haruslah menyahut seruan Menteri Pelajaran untuk menjadikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum sebagai kriteria penting dalam penerimaan kemasukan ke universiti atau institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu, jom kita aktif dalam kegiatan kokurikulum.

3 comments:

DEVAJI said...

Cikgu adakah ramalan ini tepat kerana saya kurang yakin. dan saya juga kesuntukan masa. terima kasih cikgu

Unknown said...

Thank you. This essay use for men.

Unknown said...

Thank you